TIDAK semua roh bersemadi dengan tenang selepas meninggal dunia. Ini kerana, ia dikaitkan dengan pelbagai insiden yang tak berkesempatan dilakukan ketika masih hidup. Antaranya, seperti permintaan terakhir, cinta yang tak diluahkan dan rahsia di sebalik kematian tidak dibela hingga menghalang ketenangan.
Sejauh manakah masalah ketenangan yang terhalang itu dapat diatasi? Disiarkan sebanyak 13 episod, drama Crossing dapat ditonton di saluran ntv7, jam 8.30 malam bermula 1 Oktober lalu. Ia menceritakan kebolehan luar biasa seorang lelaki yang mampu melihat dilema orang yang sudah meninggal dunia.Siri penuh dengan kejutan ini, diarah dan diterbitkan pemenang BMW Shorties, Prakash Murugiah daripada Kash Pictures yang mengetengahkan barisan pelakon berbakat seperti Zakizamani Osman sebagai Bob Boroi, Dira Abu Bakar (Katie), Hansen Lee (Danny), Xavier Fong (Anthony) dan Ruzana Ibrahim (Brenda).
Kisah bermula apabila Bob yang bekerja sebagai seorang penyusun iklan di sebuah agensi pengiklanan sering kali mendapat arahan majikannya, Merlin yang suka mendesaknya. Selain itu, Bob juga kerap dibuli dua rakan sekerjanya iaitu Anthony dan Brenda (Xavier Fong) yang suka mengambil kesempatan.
Bob juga selalu diejek dengan perkataan menyakitkan hati. Dia juga dianggap seorang yang gagal oleh individu di sekelilingnya. Suatu hari, Bob mengalami kemalangan aneh yang menyebabkannya mempunyai kebolehan untuk melihat mereka yang sudah meninggal dunia atau roh menerusi pantulan imej di cermin.
Dia (Bob) menggunakan kebolehannya untuk membantu roh terbabit menyelesaikan masalah mereka yang belum selesai ketika hidup. Melalui bantuan Bob, bukan saja roh si mati boleh bersemadi dengan tenang, malah keluarga dan rakan rapat si mati dapat kembali menjalani kehidupan sempurna.
Berdasarkan konsep jalan cerita drama ini, watak Bob seorang yang lurus bendul. Bob juga mempunyai daya tarikan tersendiri kerana bersikap pemaaf dan suka membantu orang lain. Bob kemudian berkawan baik dengan Katie, rakan sekerja barunya yang juga pembikin filem dan berperangai seperti lelaki.
Mereka berdua kemudian berganding bahu pada kali pertama untuk membantu roh mencari ketenangan dan dalam proses itu, mereka bertemu Danny yang gemar sekali mencipta alat pengesan hantu. Mereka bertiga kemudian menjadi kawan karib dan bekerjasama untuk menolong roh yang memerlukan bantuan.
No comments:
Post a Comment