Thursday, September 30, 2010

Berita Harian : 30 September 2010

Drama komedi seram dalam Crossings di ntv7
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


TIGA tahun lalu ketika sedang meredah kesesakan jalan raya di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) bersama rakannya, Prakash Murugiah, pengarah drama bersiri Crossing, yang bakal menemui penonton setiap Jumaat, bermula 1 Oktober ini, jam 8.30 malam di ntv7 terlihat pancaran lampu kereta melalui cermin sisi tepi.

Sinaran cahaya lampu itu memberi idea kepada Prakash untuk dijadikan shot dalam drama arahannya. Bermula dari situ, dia berhasrat untuk menghasilkan sebuah drama bersiri komedi gelap.

Setelah tiga tahun idea itu diperam, Prakash yang juga pemenang anugerah BMW Shorties akhirnya diberi peluang dan ruang oleh ntv7 untuk mengetengahkan buah tangan pertamanya itu.

Bagi sesetengah pengarah dan penerbit baru, kisah cinta sering kali menjadi pilihan kerana kemampuan filem dengan tema sedemikian untuk menarik penonton. Namun bagi Prakash pula, dia mempertaruhkan kisah komedi gelap kepada sentuhan pertamanya.

Saya tidak pernah berasa terlambat walaupun idea untuk menghasilkan Crossing sudah timbul sejak tiga tahun lalu. Penulis cerita ini, Zakizamani Osman yang memegang watak utama sebagai Bob Boroi pula mengambil masa kira-kira dua tahun lebih untuk mengkaji peranan Bob.

Proses menghasilkan drama bersiri ini pula mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk dikembangkan. Bagaimanapun watak Katie yang dipegang oleh Dira Abu Zahar dan watak Danny lakonan Hansen Lee pula diwujudkan pada saat akhir.

Saya percaya drama ini akan diterima kerana penonton kita cukup tertarik dengan drama berkonsepkan penyiasat seperti CSI. Jadi saya percaya drama ini juga akan diterima. Saya banyak menjadikan drama dari luar negara sebagai rujukan seperti Quantum Leap tidak ketinggalan juga siri Ugly Betty, katanya yang sebelum ini pernah terbabit di dalam siri Frontpage selaku pengarah untuk dua episod dan juga program di RTM.

Penggambaran drama bersiri ini berlangsung selama 70 hari bermula sekitar Mei hingga Jun yang lalu. Selain Zakizamani yang memegang watak utama, Prakash turut mengundang ramai pelakon undangan antaranya Yalal Chin, Ako Mustapha, Julia Ziegler, Craing Fong, Indy Nadarajah, James Lim, Alan Yun dan ramai lagi.

Walaupun menggabungkan ramai nama hebat tetapi kata Prakash, dia tidak menghadapi masalah untuk bekerja dengan mereka kerana setiap pelakon memberikan komitmen yang baik.

Drama bersiri yang menggunakan hampir 95 peratus bahasa Inggeris mengisahkan Bob yang mengalami kemalangan aneh sehingga menyebabkan dia mempunyai kebolehan untuk melihat mereka yang meninggal dunia dalam refleksinya. Dia menggunakan kebolehannya itu untuk membantu roh yang ditemui menyelesaikan masalah mereka yang tidak diselesaikan ketika hidup.

Melalui bantuan Bob, bukan saja mereka yang mati boleh bersemadi dengan tenang, tetapi turut membantu keluarga dan rakan rapat roh itu kembali menjalani hidup sempurna.

Crossing juga memaparkan konsep 1 Malaysia dengan barisan pelakon berbeza kaum dan agama. Selain itu, drama bersiri ini turut menggunakan bahasa lain seperti bahasa Melayu, Kantonis dan Tamil.

No comments:

Post a Comment