MUNGKIN ramai tidak tahu pengurus produksi, KPSB, Syazril Hafiz Suhaimi, 20, adik kepada pelakon Syanie dan anak lelaki kepada produser Nizarman (M) Sdn Bhd, Ruhanie Abd Rahman. Anak kelahiran Kelantan yang juga anak keempat daripada lima beradik ini juga banyak menimba ilmu dengan pelbagai produksi sebelum mengambil alih syarikat keluarganya itu satu hari nanti.
"Buat masa ini, Nizarman tidak ada projek baru dan sebab itu saya bekerja secara sambilan dengan produksi lain seperti KPSB," katanya.
Kata Syazril yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tugas sebagai pengurus produksi sangat mencabar kerana ia membabitkan keseluruhan aspek kerja produksi.
"Pengurus produksi perlu menguruskan semua kerja produksi dari kerja A hingga Z iaitu dari segi mencari artis, lokasi dan sebagainya lagi. "Apa yang paling mencabar untuk mencari lokasi penggambaran. Contohnya, saya perlu mencari lokasi yang sesuai untuk babak Bob yang ingin terjun dari bangunan dalam Crossings. Bagi menjayakan babak ini, saya perlu mencari bangunan lima hingga enam tingkat dan di kawasan pejabat," katanya.
Ditanya pengalaman bekerja dengan Prakash, Syazril berkata, ia kali pertama dia bekerja dengannya.
"Saya berasa seronok bekerja dengannya kerana dia tidak garang dan suka berbincang dengan kru di lokasi penggambaran," katanya. Mengenai perancangan masa depan pula, kata Syazril, dia bercita-cita bergelar pengarah dalam tempoh dua tahun lagi. "Syanie banyak beri dorongan untuk saya menceburi bidang belakang tabir ini sebagai persediaan untuk mewarisi bisnes keluarga pada masa depan," katanya.
No comments:
Post a Comment