Thursday, October 7, 2010

Harian Metro : 7 October 2010

Borak Lokasi: Zaki mudah jiwai karakter Bob

SIAPA kata berbadan besar menghalang seseorang pelakon itu ditawarkan watak utama? Pelakon Zakizamani Osman membuktikannya apabila ditawarkan watak utama dalam drama bersiri komedi seram, Crossings terbitan KPSB.

Kata Zakizamani yang baru kali pertama beraksi sebagai watak utama, dia ditawarkan watak itu oleh penerbit dan pengarah Crossings, Prakash sendiri.

"Saya dan Prakash berbincang mengenai skrip Crossings dan saya juga beri idea dari segi watak Bob dan selepas mendengarnya, Prakash putuskan watak itu paling sesuai dilakonkan saya sendiri kerana saya lebih mengenali watak Bob itu.

"Pada peringkat awal, memang Prakash ingin tawarkan watak itu pada pelakon Afdlin Shauki tapi selepas kami berbincang, Prakash putuskan watak Bob itu paling sesuai buat saya.

"Saya menerima tawarannya itu dan berusaha memberikan yang terbaik seperti dikehendaki," katanya. Kata Zakizamani lagi, dia juga menyukai karakter Bob yang kelakar itu.

"Bob menjalani kehidupan biasa sehingga satu hari dia terbabit dalam kemalangan aneh dan mendapati boleh melihat roh dalam bayangannya.

"Bob belajar menyesuaikan diri dengan kelebihannya itu. Dia seorang yang lurus bendul, mempunyai personaliti disenangi ramai dan mudah disayangi dengan sikapnya yang kelakar. Karakter Bob tentunya menarik minat penonton untuk sentiasa menyokongnya," katanya.

Zakizamani yang mengagumi Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Datuk Aziz Satar dan Afdlin Shauki berkata, dia yakin peminat akan menerimanya kerana kini masyarakat menilai bakat seseorang itu dan bukan paras rupa semata-mata.

"Saya juga sudah bekerja dengan Prakash lebih tiga tahun dan pada pandangan saya dia pengarah yang sangat teliti. Saya juga puas hati dengan hasil kerjanya ini," katanya.

Zakizamani bermula sebagai copywriter dan seterusnya beralih kepada penulisan layar. Dia mula menulis skrip empat tahun lalu dan berjaya menghasilkan filem pendek pada 2007. Anak seni serba boleh kerana dia berbakat sebagai penulis skrip dan pengarah.

Antara pencapaiannya ialah mengungguli kategori Penyuntingan Terbaik selaku penulis skrip dan penolong pengarah The Contract yang tersenarai dalam 10 pemenang Astro Kirana untuk Anugerah Cerita Pendek 2007.

Selain itu, dia pernah menjadi penulis skrip untuk filem berjudul CE1 arahan Aziz M Osman, Penolong pengarah untuk drama bersiri RTM berjudul Detik 12 Malam.

Antara lakonannya ialah pelakon pembantu dalam drama Adam Cinta Siapa arahan Mamat Khalid dan telefilem Keabadian Cinta arahan Khabir Bhatia untuk Astro Citra. Zakizamani juga adalah penulis skrip dan pengarah telefilem Wira Waja untuk saluran Astro.

No comments:

Post a Comment