Oleh Ramlah Zainal
BOB mengalami kemalangan aneh yang menyebabkannya mempunyai kebolehan melihat mereka yang sudah meninggal dunia atau roh dalam pantulan imejnya di cermin.
Dia menggunakan kebolehannya itu untuk membantu roh menyelesaikan masalah mereka yang belum selesai ketika hidup. Melalui bantuan Bob, bukan saja roh mereka yang sudah mati boleh bersemadi dengan tenang, malah keluarga dan rakan rapat si mati dapat kembali menjalani kehidupan sempurna.Itulah antara paparan menarik dalam drama bersiri komedi seram sebanyak 13 episod, Crossings yang membabitkan 95 peratus dalam bahasa Inggeris. Ia disiarkan di ntv7, setiap Jumaat, jam 8.30 malam sejak 1 Oktober lalu.
Cerita penuh kejutan ini menampilkan sentuhan pemenang anugerah People's Choice Awards menerusi filem pendek, Flashes di acara BMW tahunan 2009, Prakash Murugiah dari Kash Pictures Sdn Bhd (KPSB).
Ketika wakil Rap sampai ke lokasi penggambaran Crossings di Wisma SLR, Petaling Jaya pada Mei lalu, Prakash sibuk menyiapkan babak Bob (lakonan Zakizamani Osman) yang hendak terjun dari tingkat 10 bangunan di situ.
Selain itu, Prakash juga dapat menyiapkan babak Katie (Dira Abu Bakar) dan Bob yang sentiasa bersama kerana dia ingin membantu Bob yang menghadapi masalah.
Ternyata, cuaca panas terik petang itu tidak sedikitpun menghalang Prakash, pelakon dan semua krunya menyiapkan lapan hingga 10 babak dengan menggunakan dua kamera sepanjang sehari suntuk penggambaran pada hari berkenaan.
Menurut Prakash, penggambaran drama bersiri komedi seram itu dimulakan Mei dan berakhir Jun lalu selama 70 hari membabitkan lokasi seperti Kuala Lumpur, Damansara dan Sungkai, Perak.
"Selain barisan pelakon yang mantap dan skrip menarik, penonton juga boleh menantikan sebuah siri yang akan memaparkan sinematografi dan penyuntingan berkualiti tinggi," katanya.
Mungkin ada yang akan membandingkan Crossing dengan siri popular Hollywood, Ghost Whisperer, tetapi kata Prakash yang juga penerbit dan pengarah Crossing, dia dapat idea menghasilkan drama komedi seram itu ketika memadu di jalan raya, tiga tahun lalu.
"Saya terlihat ada pantulan imej melalui cermin sisi kereta. Pantulan imej itulah yang memberi idea kepada saya untuk dijadikan cerita ini. Saya terus berbincang dengan rakan kongsi, KPSB, Lee Min Li dan penulis skrip, Zakizamani Osman dari segi idea dan konsep untuk hasilkan cerita ini.
"Zakizamani juga mengambil masa lebih dua tahun untuk mengkaji watak Bob. Pada mulanya, kami mencari pelakon yang kacak dan kelakar seperti dalam skrip. Namun, selepas berjumpa Zakizamani, kami percaya dialah yang paling sesuai untuk bawa karakter ini," katanya.
Prakash mula menceburi bidang perfileman apabila bekerja sebagai Penolong Kreatif untuk syarikat Bombay/Indonesia yang bertapak di Malaysia.
Dia yang berpengalaman lima tahun dalam bidang ini pernah memegang jawatan sebagai pembantu pengarah, penyelaras penerbitan, penerbit dan pengarah bagi video korporat, pengiklanan, drama televisyen, telemovie dan drama tempatan serta antarabangsa.
Antaranya filem Stamp, Sepi, Kuruvi (India) dan Tipu Kanan Tipu Kiri serta drama TV seperti Manjalara, Kerana Karina, Frontpage, Kekasihku Seru dan telefilem Dendam seorang Isteri. Terbaru, mengarah dokumentari jenayah The Jean Perera Murder untuk Saluran 732 di Astro.
Kata Prakash, dia bertuah kerana diberi peluang ntv7 untuk mengetengahkan cerita itu.
"Saya percaya drama berkonsepkan penyiasat seperti siri popular CSI ini diterima penonton. Cerita ini juga memaparkan konsep 1Malaysia yang menggambarkan rakyat Malaysia dengan barisan pelakon pelbagai kaum dan agama.
"Selain bahasa Inggeris, episod Crossings juga menampilkan bahasa Malaysia, Kantonis dan Tamil. Siri ini mempunyai jalan cerita unik setiap minggu dalam genre komedi seram dan kami berharap penonton kita terhibur," katanya.
Selain Zakizamani dan Dira, pelakon lain ialah Hansen Lee (Danny), Ruzana Ibrahim (Brenda), Anthony (Xavier Fong), Craig Fong, Indy Nadarajah, Ako Mustapha, Yvonne Sim, Chew Kin Wah, James Lim, Alan Yun, Julia Ziegler, Mustapha Kamal dan Prem FlyFm.
Crossings menceritakan mengenai Bob yang bekerja sebagai copywriter di agensi pengiklanan dan dia sering diarah bosnya, Merlin (lakonan Nina Sharil Khan).
Bob juga kerap dibuli dua rakan sekerjanya yang juga penyambut tetamu dan'permaisuri pejabat', Anthony dan Brenda, si Cantik yang mempunyai kebolehan manipulasi yang tinggi. Bob juga mudah dibuli dan selalu diejek rakan sekerjanya.
Bob juga berkawan baik dengan Katie, rakan sekerja barunya yang juga pembikin filem. Mereka berdua kemudian berganding bahu pada kali pertama untuk membantu roh mencari ketenangan dan dalam proses itu, mereka bertemu Danny yang gemar sekali mencipta alat pengesan hantu.
Borak Lokasi:
JUDUL: Crossings
TERBITAN: Kash Pictures Sdn Bhd
PENERBIT: Prakash Murugiah/Lee Min Li
PENERBIT EXECUTIVE: Addhiswathi
LINE PRODUCER: Nina Sharil Khan
PENOLONG PENERBIT/UJIBAKAT: Shobana Murugiah
PENGARAH: Prakash Murugiah
PENOLONG PENGARAH: Adi Bear dan Herdawati Taher
PENOLONG PENGARAH 2: Elisza Mohd Ali, Nana Abu Hasan dan Hadith Omar
KETUA PENULIS SKRIP: Alfie Palermo
PENULIS SKRIP: AG Fadela
JURUKAMERA 2/GAFFER: Cik Aim
PENOLONG JURUKAMERA: Noor Azlan Noor Azmi
PENGURUS PRODUKSI: Syazril Hafiz Suhaimi
PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Ad
PENGARAH FOTOGRAFI: Zambree Haras dan Mad Nor Kassim
PROPS MASTER: Muhammad Tarmizi Ramli
PENOLONG PROPS MASTER: Mohd Nizam Rusali, O Oi dan Muhammad Soffian
KEY GRIP : Putra
JURUSOLEK ARTIS : Zie Aris
PENOLONG JURUSOLEK: Hazel, Wani
WARDROBE: Jue Ahmad
PA WARDROBE: Dayang Rohani
PENATA CAHAYA: Ajoe dan Azkar
PENATA BUNYI: Mohd Shashi Dharma Faizul
EDITORS: Daniel Tan dan Mohd Shaiful
KESAN KHAS: GG, Dani Daud
KATERER: Ayahanda Caterers (Uncle Don)
PEMBANTU PRODUKSI: Aidil Shakirin Khairuddin
HANDYMAN: Ahmad Shahidan (Noh)
RUNNER: Mohd Zulkepli Othman
PELAKON UTAMA: Zakizamani Osman (Bob Boroi), Dira Abu Zahar (Katie), Hansen Lee (Daniel Chun)
No comments:
Post a Comment