Oleh Jessabell Soo
BOB mengalami kemalangan aneh yang menyebabkan dia mempunyai berkebolehan untuk melihat roh menerusi pantulan imej di cermin. Kebolehan itu digunakan untuk membantu roh menyelesaikan masalah yang belum dituntut semasa hidup.
Bantuan Bob membenarkan roh-roh itu bersemadi dengan tenang. Ceritanya kedengaran seperti sebuah siri terkenal Amerika Syarikat, Ghost Whisperer. Mungkin mempunyai persamaan tetapi drama terbaru ntv7, Crossings itu diberi sentuhan tempatan.
Dibintangi oleh Zakizamani Osman, Dira Abu Bakar dan Hansen Lee, drama 13 episod itu disiarkan pada setiap Jumaat bermula 1 Oktober lalu pukul 8.30 malam di ntv7. Diarahkan oleh Prakash Murugiah, Crossings yang menjalankan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantaraan utama.
Sungguhpun melibatkan ‘interaksi’ bersama roh yang telah meninggal dunia, Zaki yang memegang watak Bob memberitahu drama itu tidak menakutkan.
“Drama ini menggabungkan komedi serta sedikit keseraman. Tapi seram itu amat ringan sahaja. Rohnya bukan yang menakutkan tetapi muncul seperti manusia,” ujar Zaki.
Bob yang merupakan penyusun iklan berkenalan dengan Katie (Dira) dan Danny (Hansen) dan bersama-sama, mereka melalui pelbagai perkara lucu ketika menyelesaikan masalah roh yang menghantui Bob.
“Setiap episod mempunyai cerita berlainan. Menariknya kami memaparkan cerita roh yang biasa berlaku di Malaysia. Semuanya dikaitkan dengan elemen tempatan contohnya seperti bomoh.
“Walaupun setiap episod mempunyai cerita roh berlainan tetapi pada hujungnya, semua cerita ada kaitannya,” tambah Zaki.
Menjalankan penggambaran selama dua bulan setengah, Danny yang merupakan pencipta menjadi kawan Bob apabila mendapat tahu dia mampu berhubung dengan roh. Ini kerana Danny suka mencipta alat pengesan hantu.
“Danny hidup dalam dunianya sendiri dan suka mencipta alat pengesan hantu. Apabila dia tahu bahawa Bob dapat berhubung dengan roh, dia terus berkawan dengannya. Disebabkan dia dan Katie tidak ada kereta, saya menjadi pemandu mereka sepanjang drama itu,” kata Hansen.
Bagi Dira, dia pertama kali terlibat dalam berbahasa Inggeris. Menjayakan watak Katie, dia menyukai kebebasan yang diberikan untuk menyerlahkan bakatnya.
“Saya tidak mahu diri saya hanya dilabelkan sebagai pelakon drama bahasa Melayu. Jadi dengan lakonan kali ini, ia membuktikan kredibiliti saya. Tapi drama Inggeris memberikan cabaran kerana ia bukan bahasa utama saya. Nasib baik Hansen dan Zaki banyak membantu.,” jelas Dira yang akan terlibat dalam teater Banduan Akhir Di Sel Akhir.
No comments:
Post a Comment